Thursday 2 November 2017

Mujur ada Makngah

MUJUR ADA MAKNGAH.
“Mujur ada makngah”
Makngah nama panggilan kakak ummi yang tua daripada 8 orang adik beradik. Dulu makngah pernah bekerja kilang selepas spm. Apabila makngah sakit teruk, makngah tidak bekerja lagi. Apabila ummi melahirkan anak ke dua, makngah menjaga anak ummi dan tinggal bersama ummi di Gerik.
Mujur ada makngah.
Jadi makngahlah menjaga anak-anak ummi yang enam orang itu. Sepanjang makngah menjaga mereka bukan sedikit bakti yang dicurahkan oleh  makngah. Kudrat muda makngah dihabiskan mengasuh, memasak dan mengemas rumah dan membuat apa yang patut di dalam rumah yang meriah dengan kenakalan anak-anak.
Makngah tidak berkeluarga. Jodoh belum ada. Ummi diam membisu seribu bahasa jika ada orang ingin meminang makngah. Siapa yang akan menjaga anak-anak ummi? Mujur makngah tidak mahu kahwin.
Mujur ada makngah. Ummi mengambil kesempatan untuk bebas kesana-sini dengan melakukan perkara-perkara yang ingin dilakukan kerana tidak risau dengan keselamatan anak-anak kerana ada makngah.
Ummi mengambil keputusan untuk sambung belajar ke UPSI juga kerana ada makngah. Ketika ummi sambung belajar, 3 orang anak ummi diletakkan di kampong dibawah jagaan bonda dan makngah, yang dua lagi tinggal bersama suami tercinta kerana sudah bersekolah. Ketika itu anak ummi baru lima.
Mujur ada makngah.
Walaupun makngah agak moody, tetapi kasih sayang   makngah pada anak-anak saudara tidak pernah pudar. Kadang-kadang timbul perasaan cemburu kerana ada ketika anak-anak ummi lebihkan makngah. Ada juga pernah tersasul memanggil ummi dengan panggilan makngah. Begitulah lekatnya kasih makngah di hati anak-anak ummi.

Mujur ada makngah.
Ketika ummi belajar di UPSI, makngah ikut juga kerana menjaga anak-anak ummi. Begitu juga ketika ummi berada di Kuala Lumpur, makngah ikut juga menabur bakti. Betapa besarnya pengorbanan makngah pada keluarga ummi. Dengan pengorbanan inilah ummi dapat meneruskan kerjaya dengan cemerlang, suami tercinta dapat melangsungkan kerja dan dinaikkan pangkat setingkat demi setingkat tanpa rasa ragu dengan keselamatan anak-anak kerana ada yang menguruskan. Walaupun makngah dibayar perkhidmatannya, tetapi itu bukanlah ukuran pengorbanan yang makngah telah curahkan. Tidak terbalas jasa dan pengorbananmu makngah pada keluarga ini.
Bila anak-anak sudah besar, makngah tinggal pula dengan Acu. Adik bongsu. Juga menjaga anak-anak saudara. Makngah menjadi rebutan kami adik-beradik. Ehmm mujur ada makngah.
Sekarang Makngah sudah tidak tinggal dengan keluarga ummi. Makngah tinggal di kampong bersama bonda kerana katanya” anak-anak ummi dah besar, boleh berdikari , malahan bonda sering sakit-sakit. Jadi makngah menabur jasa pula dikampung menemani bonda sambil membuat jualan kuih-muih.
Mujur ada makngah.
Kata-kata ini masih lagi terngiang di telinga tidak susut tanpa sisa. Pada ummi itulah kasih sayang antara adik-beradik yang tidak pernah lekang samaada dalam susah atau senang. Untuk makngah ku ungkapkan bait-bait coretan ini agar kenangan itu meninggalkan nostalgia yang hampir tenggelam dibungkus waktu.
 “ Pada ketika kau berjalan gontai tidak bermaya dengan raut wajah yang menyimpan seribu pengorbanan pada keluarga besar ini, ingatan ku terloncat daripada satu peristiwa ke satu peristiwa yang lain. Aku cuba menepis ingatan itu terhadap makngah tetapi kotak fikiranku tidak mampu berbuat begitu dek kerana besarnya pengorbanan yang kau lakukan yang kau biarkan begitu sahaja tanpa dimasukkan ke dalam buku perhitunganmu. Semoga segala keringat bakti yang kau curahkan mendapat penilaian yang baik disisi Tuhammu. Di penjuru usia yang tinggal sisa ini, kami adik-adikmu masih memerlukan seorang yang dipanggil” KAKAK “ dan anak-anak saudaramu perlukan panggilan keramat  “MAKNGAH” Alhamdulillah, Mujur ada makngah.
Buat adik-adik dan anak-anak , titipan ini bukan sekadar Bicara Hati. Ianya adalah penilaian kehidupan yang di namakan keluarga. Dalam sebuah keluarga di ibarat bagai jari jemari  iaitu anak-anak pada tapak tangan iaitu ibubapa. Jari jemari dari pelbagai saiz , kedudukan dan peranan. Memainkan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Masing-masing ada tugas dan hak.
Jangan di pandang pada kedudukan. Jika telunjuk sakit, si manis akan membantu. Jika si ibu yang besar tidak berupaya, si kelingking yang kecil berdaya. Jika semua bersatu hati, tolong menolong dan bantu membantu maka si tapak tangan akan bahagia dan sempurna.


Friday 27 October 2017

Tajuk: Tasek Permai
Jika dipandang pada nama , tentulah perkataan Tasek Permai amat mendamaikan. Terbayang pada kotak fikiran suatu tempat yang sekolahnya terdapat Tasek yang nyaman yang dikelilingi oleh rimbunan pokok-pokok kehijauan. Itulah antara persepsi ummi ketika mendapat surat pertukaran dari Gerik ke Kuala Lumpur.
Oh, bertukar lagi….
Pertukaran ini berlaku adalah kerana ummi mengikut suami tercinta bertukar ke Kementerian Pertahanan yang terletak di Jalan Semarak. Sudah menjadi lumrah, ummi akan mengikut ke mana sahaja suami tercinta berada. Masuk kali ini, adalah pertukaran yang ke dua setelah selesai belajar daripada UPSI. Suami tercinta bertukar kerana tiada kekosongan jawatan yang setara dengan gred yang diperolehi.
Ummi telah mendaftar awal daripada tarikh yang diarahkan. Sangat teruja dengan nama Tasek Permai. Apabila sampai sahaja , Ah! rupanya indah khabar dari rupa.
Mana taseknya?
Kali pertama menjejakkan kaki, toleh kiri kanan. Melihat sayup di depan. Jangankan tasek , yang ada hanyalah bukit demi bukit yang perlu didaki .
Bermula dengan berkenalan dengan aci India yang fasih berbahasa Melayu menjadi makcik jaga yang setia.
Itulah Sekolah Tasek Permai terletak di atas bukit. Keindahan permai itu jelas kelihatan dari bukit yang dapat menyingkap rahsia-rahsia kota. Jauh sayup kelihatan bangunan-bangunan mencakar langit menjadi keegoaan dunia materialistik.
 Disini murid terdiri daripada bangsa melayu, cina dan india dan melayu Indonesia. Inilah pertama kali ummi mengajar murid daripada melayu Indonesia. Kawasan ini adalah kawasan pinggir bandar di mana bandar utamanya ialah Ampang Selangor.  Setiap hari ummi terpaksa meredah dua negeri untuk sampai ke tempat kerja iaitu kuala lumpur dan Selangor jua dengan himpitan deretan kereta yang tidak pernah putus.
Ummi meneruskan perjuangan dakwah di sini setelah meninggalkan anak-anak asli di Gerik.
Banyak sungguh kenangan pahit manis di sini.
Perbezaan antara hutan rimba dengan hutan batu itulah  kehidupan di sini . Cabaran apabila berhadapan  dengan karenah murid-murid yang dari latarbalakang sosial yang sederhana dan tercabar dengan tuntutan fikrah di ibu kota.
Kuatkan tekad dan semangat, ummi!
 Pejuang perlukan itu semua.
Ummi!ummi!ummi terus bergema disini. Kedengaran usikkan manja anak anak permai menyanyikan lagu saudara Yusuf Islam , ummi….ummi…..ummi…. . Panggilan ini makin lama makin mesra dan melekat di sanubari. Tidak susah membiasakan pangilan ini dalam kalangan mereka sehinggakan murid Tionghua dan India juga memanggil ummi dengan pelat mereka.
Sudah sunnah orang berjuang
Mengembara dan berkelana……..
Perjuangan di sini tidak lama. Tidak terungkap kesedihan ini  dengan kata-kata apabila ummi dapat surat pertukaran. Bertukar lagi untuk bersama suami dan keluarga tercinta. Kali ini ke Pulau Pinang pula.
Duhai air mata, sejak berita pertukaran diterima, mengapa ianya tidak putus-putus membasahi pipi.
 Kepiluan, kasih-sayang, keakraban, persahabatan yang intim di Tasek Permai yang telah bersemi selama 4 tahun terungkai jua . Sebelum berpindah sempat juga ummi coret sebuah catatan yang termuat di dada majalah sekolah sebagai kenangan terindah ummi di Tasek Permai. Buat anak-anak Tasek Permai, ketahuilah bahawa kalian adalah anak-anak yang berjiwa besar dan berani menempuh gelodak peraturan zaman.  Teruskan berusaha untuk mencapai yang terbaik. Kepada rakan-rakan seperjuangan, kembar ummi!. adik Tasya , iaguan gelak tawa kalian dari sudut kantin dan bilik guru menjadi pengubat rindu.
Terimalah nukilan ini sebagai BICARA HATI UMMI.

KETERBATASAN WAKTU DI HUTAN BATU
Bila kenangan itu menggamit , hati ini mula sebak terbanyang mata-mata bundar dengan senyuman yang layu menyapa aku dengan panggilan ummi. Air mata ini mula menitik satu demi satu membasahi pipi yang semakin kendur. Pada usia semakin senja ini, aku merasakan ruang dan peluang makin terbuka luas ditakdirkan agar kehidupan ini dipenuhi dengan rasa kepuasan. Ya, puas melayan karenah anak-anak yang memanggil aku ummi. Ummi!  itulah panggilan mesra dari anak-anak dari pelbagai rencam kehidupan. Adakala aku rindu dengan panggilan itu, adakala aku rimas, jua cemas . Jauh disudut hati panggilan itu adalah lambang keperihatinan, tanggungjawab, dan amanah yang harus dipikul oleh seorang ummi. Biarlah aku mempunyai seribu anak yang pada suatu hari nanti akan mendoakan kebahagiaan untuk ku. Adakalanya ku terpaksa  lepaskan tanggungjawab pada anak-anak dirumah demi anak-anak permai ini. Dengan harapan anak-anakku jua dibantu. Namun, inilah hadiah yang kuterima. Semakin kuat ku berdaya semakin tinggi semangat kasih ini pada anak-anakku
Entah mengapa, aku sanggup melayan karenah yang bukan kuingankan. Namun hati ini tidak dapat menolak realiti kehidupan,  pahit  dan manis yang mereka hadapi adalah ujian buat hambaMu. Aku mula jadikan duniaku ini dunia dakwah, dunia menyeru kepada kebaikan, berusaha memimpin pada jalan yang lurus. Benak fikirku ligat beputar ingin memecah kebuntuan. Sanggup ku kumpul botol-botol kosong untuk diberi pada yang sudi. Agar jualan botol itu mampu mengukir senyum. Ku hulur roti dan kuih ditangan agar perut terisi. Padaku jika lagu keroncong sering berbunyi masa ilmu dapat diuli. Ku biarkan sahaja teriakan ummi memecah kebisingan.  Adakalanya hati ini memberontak dan marah . Amaran ku….jangan panggil ummi jika diri macam hantu. Jika nak panggil ummi jadilah anak yang baik. Terkesima mereka. Hatiku bergeletek, entah apa yang kuucapkan. Esoknya mereka sengaja bertanya sesuatu untuk menyapaku dengan panggilan ummi.
Wahai anak-anak permai, anak ummi! jangan biarkan rasa perit membungkam dada, lepaskan pada yang sudi agar tempias api dari gunung emosi itu tersasar pada yang  sedia. Akan ku bantu semampu terdaya. Tidakku duga anak-anak permai yang setahun jagung  terpaksa menanggung resah yang teramat dek kerana dunia material dari mereka yang berjiwa sempit. Pada keterbatasan waktu di hutan batu ini, aku menyedari dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung. Hutan batu ini telah menjadikan diri ini hamba yang berterima kasih.  Ya Allah, bantulah hambuMu ini menjalankan amanahMu. Kuatkan semangatku membantu anak-anak permai di hutan batu kerana aku yakin, aku dijadikan untuk itu.
FirmanNya dalam surah Al-Maidah ayat 35, bermaksud:
            “Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah (jalan di dalam setiap aktiviti penghidupan kamu) untuk mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah (bersungguh-sungguh melakukan aktiviti tersebut) di jalanNya supaya kamu beruntung.”


Thursday 26 October 2017

Sakinah “Ketenangan Ku”
Sakinah adalah anak ummi yang bongsu. Dilahirkan ketika ummi sedang belajar dalam semester 5 di UPSI. Semasa ummi mengandungkan sakinah, ummi menanggung diabetis” mungkin kerana terlalu banyak minum air tin bergas ketika memandu dari tanjung malim ke gerik.  Setiap hujung minggu ummi akan balik ke gerik untuk menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan anak yang ditinggalkan ketika sambung belajar.
Sakinah dilahirkan secara pembedahan. Itu semua ummi sudah tahu dan bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana ummi yang minta untuk membuat pembedahan. Ini adalah kerana ummi akan menghadapi peperiksaan akhir semester. Takut-takut semasa peperiksaan ummi sakit untuk melahirkan. Untuk mengelakkan itu, ummi memberanikan diri berbincang dengan doctor untuk bersalin awal sebelum peperiksaan. Setelah pemeriksaan dan perkiraan dibuat , ummi boleh melakukan pembedahan lebih awal.
Seperti yang dijangka, sakinah dilahirkan seminggu sebelum peperiksaan.
 Alhamdulillah
 Ummi boleh membuat persediaan untuk peperiksaan. Selepas sakinah dilahirkan, sakinah selalu sakit dan menangis. Dia kena juandis, penyakit biasa yang dialami oleh kanak-kanak lain selepas kelahiran. Dari hospital slim river dimana tempat sakinah dilahirkan, sakinah ditemani oleh atok dan ayah bibawa balik ke gerik dimana tempat ummi dan keluarga ummi tinggal.
Di Gerik, Sakinah dimasukkan ke hospital gerik kerana jaundis. Ummi ditemani buku-buku sambil sakinah dirawat, ummi sempat mentelaah buku-buku periksaan. Di situ, sakinah dirawat oleh doktor pakar kanan-kanak.
Masih teringat lagi,
 Ummi bersama suami dipanggil masuk ke bilik doktor.  Meruntum jiwa ini apabila doktor menyatakan sakinah mengalami masalah pada bahagian dada dan meminta kami ke hospital taiping untuk membuat rawatan lanjut, kerana pada jangkaan awal doktor mendapati Sakinah mengalami jantung berlubang.
Ummi menangis sendirian dikatil wad.
 Rupanya perlakuan ummi ini diperhatikan oleh misi-misi yang bertugas. Mereka bertanyakan mengapa? . Dalam keadaan sendu, ummi memberitahu yang ummi akan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan. Sedangkan sakinah sakit dan perlukan rawatan.
 “Puan boleh pergi periksa, tinggallah sakinah disini, kami akan jaga dengan baik.”
 Itulah jawapan yang sungguh tidak disangka, ada insan yang baik hati untuk menolong. Sebenarnya dalam benak fikiran ini, ummi menangis bukanlah kerana sakinah sakit kerana ummi redha dengan ujian Allah tetapi ummi menangis kerana takut tidak dapat mengambil peperiksaan. Ummi ingin meneruskan perjuangan ini sebagai mahasiswa dan menggenggam segulung ijazah.
Pada esoknya, ummi dibawa dengan anbulans ke hospital taiping untuk rawatan lanjut pada sakinah. Sakinah disahkan mengalami jantung berlubang. Entah apa ummi tidak faham istilah perubatan pada jantung sakinah, PSD & VSD.  Gambar x-ray yang ditunjukkan pun ummi tidak peduli Cuma yang ummi tahu sakinah akan dirawat ke IJN secara berperingkat.
Tiba hari peperiksaan.

Sakinah si buah hati, dibawa juga menginap di hotel tanjung malim dan dijaga oleh suami yang sentiasa memberi sokongan.  Dalam keadaan perut yang masih sakit dengan kesan pembedahan, ummi teruskan membaca apa yang patut. Sambil memegang perut yang masih sengal-sengal kesan jahitan, ummi menggagahi tangga bangunan untuk ke bilik peperiksaan yang berada di tingkat tiga. Bilik peperiksaan tidak boleh ditukar kerana tiada pengawas untuk mengawasi. Ini mungkin juga ummi tidak memberitahu pihak university terlebih awal. Ummi bertekad akan menjawab semua soalan tanpa menghantar kertas kosong. Jawap apa yang tahu dengan penuh yakin. Alhamdulillah ummi masih dapat mengekalkan keputusan peperiksaan dengan mendapat sijil Dekan pada semester 5.  Sakinah kau inspirasi dan pencetus semangat ummi. Sehingga kini sakinah adalah “handbag ummi”. Gelaran ini diberi oleh sahabat ummi ketika ummi mengajar di ampang. Ummi pun tidak perasan yang sebelum ini sakinah adalah “handbag”. Sakinah akan mengikut kemana sahaja ummi pergi jika ummi tidak mengajar. Sekalipun ummi ada program bersama-sama pelajar, “dimana ada ummi disitu ada sakinah”. Sehingga kini, walaupun sakinah telah menginjak usia 11 tahun, sakinah masih lagi menjadi “handbag” yang setia. Sehinggakan sakinah sudah hafal bahan slide tayangan yang akan ummi tunjukkan kepada audiens ketika ummi menyampaikan ceramah. Semoga Sakinah boleh menjadi penceramah seperti ummi suatu ketika nanti. 

Mujur ada Makngah

MUJUR ADA MAKNGAH. “Mujur ada makngah” Makngah nama panggilan kakak ummi yang tua daripada 8 orang adik beradik. Dulu makngah pernah be...