Thursday, 2 November 2017

Mujur ada Makngah

MUJUR ADA MAKNGAH.
“Mujur ada makngah”
Makngah nama panggilan kakak ummi yang tua daripada 8 orang adik beradik. Dulu makngah pernah bekerja kilang selepas spm. Apabila makngah sakit teruk, makngah tidak bekerja lagi. Apabila ummi melahirkan anak ke dua, makngah menjaga anak ummi dan tinggal bersama ummi di Gerik.
Mujur ada makngah.
Jadi makngahlah menjaga anak-anak ummi yang enam orang itu. Sepanjang makngah menjaga mereka bukan sedikit bakti yang dicurahkan oleh  makngah. Kudrat muda makngah dihabiskan mengasuh, memasak dan mengemas rumah dan membuat apa yang patut di dalam rumah yang meriah dengan kenakalan anak-anak.
Makngah tidak berkeluarga. Jodoh belum ada. Ummi diam membisu seribu bahasa jika ada orang ingin meminang makngah. Siapa yang akan menjaga anak-anak ummi? Mujur makngah tidak mahu kahwin.
Mujur ada makngah. Ummi mengambil kesempatan untuk bebas kesana-sini dengan melakukan perkara-perkara yang ingin dilakukan kerana tidak risau dengan keselamatan anak-anak kerana ada makngah.
Ummi mengambil keputusan untuk sambung belajar ke UPSI juga kerana ada makngah. Ketika ummi sambung belajar, 3 orang anak ummi diletakkan di kampong dibawah jagaan bonda dan makngah, yang dua lagi tinggal bersama suami tercinta kerana sudah bersekolah. Ketika itu anak ummi baru lima.
Mujur ada makngah.
Walaupun makngah agak moody, tetapi kasih sayang   makngah pada anak-anak saudara tidak pernah pudar. Kadang-kadang timbul perasaan cemburu kerana ada ketika anak-anak ummi lebihkan makngah. Ada juga pernah tersasul memanggil ummi dengan panggilan makngah. Begitulah lekatnya kasih makngah di hati anak-anak ummi.

Mujur ada makngah.
Ketika ummi belajar di UPSI, makngah ikut juga kerana menjaga anak-anak ummi. Begitu juga ketika ummi berada di Kuala Lumpur, makngah ikut juga menabur bakti. Betapa besarnya pengorbanan makngah pada keluarga ummi. Dengan pengorbanan inilah ummi dapat meneruskan kerjaya dengan cemerlang, suami tercinta dapat melangsungkan kerja dan dinaikkan pangkat setingkat demi setingkat tanpa rasa ragu dengan keselamatan anak-anak kerana ada yang menguruskan. Walaupun makngah dibayar perkhidmatannya, tetapi itu bukanlah ukuran pengorbanan yang makngah telah curahkan. Tidak terbalas jasa dan pengorbananmu makngah pada keluarga ini.
Bila anak-anak sudah besar, makngah tinggal pula dengan Acu. Adik bongsu. Juga menjaga anak-anak saudara. Makngah menjadi rebutan kami adik-beradik. Ehmm mujur ada makngah.
Sekarang Makngah sudah tidak tinggal dengan keluarga ummi. Makngah tinggal di kampong bersama bonda kerana katanya” anak-anak ummi dah besar, boleh berdikari , malahan bonda sering sakit-sakit. Jadi makngah menabur jasa pula dikampung menemani bonda sambil membuat jualan kuih-muih.
Mujur ada makngah.
Kata-kata ini masih lagi terngiang di telinga tidak susut tanpa sisa. Pada ummi itulah kasih sayang antara adik-beradik yang tidak pernah lekang samaada dalam susah atau senang. Untuk makngah ku ungkapkan bait-bait coretan ini agar kenangan itu meninggalkan nostalgia yang hampir tenggelam dibungkus waktu.
 “ Pada ketika kau berjalan gontai tidak bermaya dengan raut wajah yang menyimpan seribu pengorbanan pada keluarga besar ini, ingatan ku terloncat daripada satu peristiwa ke satu peristiwa yang lain. Aku cuba menepis ingatan itu terhadap makngah tetapi kotak fikiranku tidak mampu berbuat begitu dek kerana besarnya pengorbanan yang kau lakukan yang kau biarkan begitu sahaja tanpa dimasukkan ke dalam buku perhitunganmu. Semoga segala keringat bakti yang kau curahkan mendapat penilaian yang baik disisi Tuhammu. Di penjuru usia yang tinggal sisa ini, kami adik-adikmu masih memerlukan seorang yang dipanggil” KAKAK “ dan anak-anak saudaramu perlukan panggilan keramat  “MAKNGAH” Alhamdulillah, Mujur ada makngah.
Buat adik-adik dan anak-anak , titipan ini bukan sekadar Bicara Hati. Ianya adalah penilaian kehidupan yang di namakan keluarga. Dalam sebuah keluarga di ibarat bagai jari jemari  iaitu anak-anak pada tapak tangan iaitu ibubapa. Jari jemari dari pelbagai saiz , kedudukan dan peranan. Memainkan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Masing-masing ada tugas dan hak.
Jangan di pandang pada kedudukan. Jika telunjuk sakit, si manis akan membantu. Jika si ibu yang besar tidak berupaya, si kelingking yang kecil berdaya. Jika semua bersatu hati, tolong menolong dan bantu membantu maka si tapak tangan akan bahagia dan sempurna.


No comments:

Post a Comment

Mujur ada Makngah

MUJUR ADA MAKNGAH. “Mujur ada makngah” Makngah nama panggilan kakak ummi yang tua daripada 8 orang adik beradik. Dulu makngah pernah be...