Tajuk: Tasek
Permai
Jika dipandang pada
nama , tentulah perkataan Tasek Permai amat mendamaikan. Terbayang pada kotak
fikiran suatu tempat yang sekolahnya terdapat Tasek yang nyaman yang
dikelilingi oleh rimbunan pokok-pokok kehijauan. Itulah antara persepsi ummi
ketika mendapat surat pertukaran dari Gerik ke Kuala Lumpur.
Oh, bertukar
lagi….
Pertukaran ini
berlaku adalah kerana ummi mengikut suami tercinta bertukar ke Kementerian
Pertahanan yang terletak di Jalan Semarak. Sudah menjadi lumrah, ummi akan
mengikut ke mana sahaja suami tercinta berada. Masuk kali ini, adalah
pertukaran yang ke dua setelah selesai belajar daripada UPSI. Suami tercinta
bertukar kerana tiada kekosongan jawatan yang setara dengan gred yang
diperolehi.
Ummi telah
mendaftar awal daripada tarikh yang diarahkan. Sangat teruja dengan nama Tasek
Permai. Apabila sampai sahaja , Ah! rupanya indah khabar dari rupa.
Mana taseknya?
Kali pertama
menjejakkan kaki, toleh kiri kanan. Melihat sayup di depan. Jangankan tasek , yang
ada hanyalah bukit demi bukit yang perlu didaki .
Bermula dengan
berkenalan dengan aci India yang fasih berbahasa Melayu menjadi makcik jaga
yang setia.
Itulah Sekolah
Tasek Permai terletak di atas bukit. Keindahan permai itu jelas kelihatan dari
bukit yang dapat menyingkap rahsia-rahsia kota. Jauh sayup kelihatan
bangunan-bangunan mencakar langit menjadi keegoaan dunia materialistik.
Disini murid terdiri daripada bangsa melayu,
cina dan india dan melayu Indonesia. Inilah pertama kali ummi mengajar murid
daripada melayu Indonesia. Kawasan ini adalah kawasan pinggir bandar di mana bandar
utamanya ialah Ampang Selangor. Setiap
hari ummi terpaksa meredah dua negeri untuk sampai ke tempat kerja iaitu kuala
lumpur dan Selangor jua dengan himpitan deretan kereta yang tidak pernah putus.
Ummi meneruskan
perjuangan dakwah di sini setelah meninggalkan anak-anak asli di Gerik.
Banyak sungguh
kenangan pahit manis di sini.
Perbezaan antara
hutan rimba dengan hutan batu itulah kehidupan di sini . Cabaran apabila berhadapan
dengan karenah murid-murid yang dari
latarbalakang sosial yang sederhana dan tercabar dengan tuntutan fikrah di ibu
kota.
Kuatkan tekad dan
semangat, ummi!
Pejuang perlukan itu semua.
Ummi!ummi!ummi
terus bergema disini. Kedengaran usikkan manja anak anak permai menyanyikan
lagu saudara Yusuf Islam , ummi….ummi…..ummi…. . Panggilan ini makin lama makin
mesra dan melekat di sanubari. Tidak susah membiasakan pangilan ini dalam kalangan
mereka sehinggakan murid Tionghua dan India juga memanggil ummi dengan pelat
mereka.
Sudah sunnah
orang berjuang
Mengembara dan
berkelana……..
Perjuangan di
sini tidak lama. Tidak terungkap kesedihan ini
dengan kata-kata apabila ummi dapat surat pertukaran. Bertukar lagi
untuk bersama suami dan keluarga tercinta. Kali ini ke Pulau Pinang pula.
Duhai air mata,
sejak berita pertukaran diterima, mengapa ianya tidak putus-putus membasahi
pipi.
Kepiluan, kasih-sayang, keakraban,
persahabatan yang intim di Tasek Permai yang telah bersemi selama 4 tahun
terungkai jua . Sebelum berpindah sempat juga ummi coret sebuah catatan yang
termuat di dada majalah sekolah sebagai kenangan terindah ummi di Tasek Permai.
Buat anak-anak Tasek Permai, ketahuilah bahawa kalian adalah anak-anak yang
berjiwa besar dan berani menempuh gelodak peraturan zaman. Teruskan berusaha untuk mencapai yang
terbaik. Kepada rakan-rakan seperjuangan, kembar ummi!. adik Tasya , iaguan
gelak tawa kalian dari sudut kantin dan bilik guru menjadi pengubat rindu.
Terimalah nukilan
ini sebagai BICARA HATI UMMI.
KETERBATASAN WAKTU DI HUTAN
BATU
Bila kenangan itu menggamit , hati ini mula sebak terbanyang
mata-mata bundar dengan senyuman yang layu menyapa aku dengan panggilan ummi.
Air mata ini mula menitik satu demi satu membasahi pipi yang semakin kendur.
Pada usia semakin senja ini, aku merasakan ruang dan peluang makin terbuka luas
ditakdirkan agar kehidupan ini dipenuhi dengan rasa kepuasan. Ya, puas melayan
karenah anak-anak yang memanggil aku ummi. Ummi! itulah panggilan mesra dari anak-anak dari
pelbagai rencam kehidupan. Adakala aku rindu dengan panggilan itu, adakala aku
rimas, jua cemas . Jauh disudut hati panggilan itu adalah lambang
keperihatinan, tanggungjawab, dan amanah yang harus dipikul oleh seorang ummi.
Biarlah aku mempunyai seribu anak yang pada suatu hari nanti akan mendoakan
kebahagiaan untuk ku. Adakalanya ku terpaksa
lepaskan tanggungjawab pada anak-anak dirumah demi anak-anak permai ini.
Dengan harapan anak-anakku jua dibantu. Namun, inilah hadiah yang kuterima.
Semakin kuat ku berdaya semakin tinggi semangat kasih ini pada anak-anakku
Entah mengapa, aku sanggup melayan karenah yang bukan
kuingankan. Namun hati ini tidak dapat menolak realiti kehidupan, pahit
dan manis yang mereka hadapi adalah ujian buat hambaMu. Aku mula jadikan
duniaku ini dunia dakwah, dunia menyeru kepada kebaikan, berusaha memimpin pada
jalan yang lurus. Benak fikirku ligat beputar ingin memecah kebuntuan. Sanggup
ku kumpul botol-botol kosong untuk diberi pada yang sudi. Agar jualan botol itu
mampu mengukir senyum. Ku hulur roti dan kuih ditangan agar perut terisi.
Padaku jika lagu keroncong sering berbunyi masa ilmu dapat diuli. Ku biarkan
sahaja teriakan ummi memecah kebisingan.
Adakalanya hati ini memberontak dan marah . Amaran ku….jangan panggil
ummi jika diri macam hantu. Jika nak panggil ummi jadilah anak yang baik.
Terkesima mereka. Hatiku bergeletek, entah apa yang kuucapkan. Esoknya mereka
sengaja bertanya sesuatu untuk menyapaku dengan panggilan ummi.
Wahai anak-anak permai, anak ummi! jangan biarkan rasa perit
membungkam dada, lepaskan pada yang sudi agar tempias api dari gunung emosi itu
tersasar pada yang sedia. Akan ku bantu
semampu terdaya. Tidakku duga anak-anak permai yang setahun jagung terpaksa menanggung resah yang teramat dek
kerana dunia material dari mereka yang berjiwa sempit. Pada keterbatasan waktu
di hutan batu ini, aku menyedari dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung.
Hutan batu ini telah menjadikan diri ini hamba yang berterima kasih. Ya Allah, bantulah hambuMu ini menjalankan
amanahMu. Kuatkan semangatku membantu anak-anak permai di hutan batu kerana aku
yakin, aku dijadikan untuk itu.
FirmanNya dalam surah Al-Maidah ayat 35, bermaksud:
“Wahai
orang-orang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah (jalan
di dalam setiap aktiviti penghidupan kamu) untuk mendekatkan diri kepadaNya dan
berjihadlah (bersungguh-sungguh melakukan aktiviti tersebut) di jalanNya supaya
kamu beruntung.”
No comments:
Post a Comment